BAB 5: PENGURUSAN BILIK DARJAH ABAD KE 21
Pengurusan bermaksud satu perbuatan atau hal menguruskan sesuatu. Bilik darjah dimaksudkan sebagai aktiviti dalam bilik darjah melibatkan yang murid, guru, tugasan, ruang, masa, dan bahan pembelajaran. Bilik darjah abad ke-21 pula membawa maksud, mentransformasikan bilik darjah dengan ruang pembelajaran yang kreatif, hasil usaha murid supaya menarik dan bermakna.
Sumber: BH Online, Oktober 2015
Berdasarkan artikel akhbar online di atas yang bertajuk "Kelas PA 21 Tingkat Keyakinan Murid" menunjukkan di Kota Bharu, Kelantan, konsep pembelajaran abad ke-21 (PA 21) akan diperkenalkan secara meluas adalah sistem pendidikan baharu yang lebih holistik.
Matlamat utamanya ialah menghasilkan murid yang mempunyai daya fikir hebat hasil garapan menerusi pendidikan yang memberi kebebasan berfikir dan kreatif.
Ia juga bertujuan melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan, daya fikir kreatif, mempunyai keyakinan diri seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Sebanyak 100 sekolah sudah melaksanakan program PA 21 di Kelantan dan ia akan dimulakan sepenuhnya di seluruh negara menjelang tahun depan.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Ab Aziz Daud berkata, di daerah Kota Bharu sebanyak 30 sekolah dipilih iaitu 20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 10 Sekolah Kebangsaan (SK) menjadi sekolah projek rintih PA 21 yang bermula pada September tahun lalu.
Beliau berkata, daripada 30 sekolah terbabit tiga sekolah sudah melaksanakan PA 21 iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Perta (24 bilik darjah), Sekolah Rendah Agama (SRA) Tengku Amalin A'isyah Putri (12 bilik darjah) dan SK Seri Ketereh (26 bilik darjah).
Ab Aziz berkata, tiga sekolah terbabit menepati ciri-ciri PA 21 kerana pihak pengurusan sekolah berjaya menyediakan semua bilik darjah dengan kelengkapan fizikal pembelajaran antara lain susun atur bilik darjah, mempunyai kemudahan teknologi maklumat, sudut bacaan, ruang rehat, dan mempamerkan hasil kerja murid.
Guru Besar SK Seri Ketereh, Mohamed Rohim Mohamed pula berkata, konsep PA 21 difokuskan kepada enam aspirasi iaitu menjadi murid yang berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa (bahasa Inggeris dan Melayu), etika dan kerohanian dan identiti nasional.
Katanya, konsep PdP kelas PA 21 banyak mengubah sikap murid itu sendiri apabila mereka menunjukkan keyakinan tinggi kepada diri, berani bercakap untuk mengemukakan idea, pencapaian pemahaman dalam pelajaran semakin meningkat.
Comments
Post a Comment